Thursday 17 September 2015

PENDUDUKAN PORTUGIS

  • Portugis berjaya menawan kota Melaka pada tahun 1511. Namun, Portugis hanya berjaya menawan kota dan pelabuhan Melaka sahaja. Sultan Mahmud dan puteranya Raja Ahmad yang berjaya mengundurkan diri dan kemudiannya menyambung era kesultanan Melayu ini ke negeri-negeri lain (Johor dan Perak).
  • Secara keseluruhannya, Portugis menduduki Melaka selama 130 tahun, iaitu dari tahun 1511-1641. Wizurai yang bertanggungjawab menyusun sistem pentadbiran Portugis di Melaka ialah Alfonso de Albuquerque. Beliau bertanggungjawab membina sebuah kota, iaitu A Famosa untuk melindungi Melaka daripada sebarang serangan, terutama daripada Sulatan Mahmud yang telah beberapa kali berusaha merampas semula Kota Melaka daripada tangan Portugis. 
  • Portugis mengamalkan sistem pentadbiran berbentuk militer atau ketenteraan. Ketuanya digelar Kapten Kota Melaka (juga dikenali sebagai Gabenor Selatan) yang dilantik oleh Raja Portugal untuk bertugas selama tiga hingga empat tahun. Beliau dipilih dalam kalangan Fidalgo, iaitu golongan bangsawan Portugal.
  • Portugis cuba bertahan di Melaka walaupun sering mendapat ancaman daripada waris Sultan Mahmud di Johor dan Aceh. Akhirnya, Portugis tetap tewas apabila diserang kuasa tempatan dari Johor yang mendapat bantuan Belanda pada tahun 1641.
  • Sepanjang pemerintahannya, Portugis melaksanakan beberapa sistem pentadbiran perdagangan seperti yang berikut:
a) Kapal-kapal pedagang diwajibkan           membayar cukai enam hingga 10 peratus daripada hasil dagangan mereka.
b) Setiap pedagang perlu mendapatkan pas kebenaran untuk berdagang terlebih dahulu.
c) Portugis memonopoli barang-barang dagangan utama, tetapi membeli barang tersebut dengan harga yang rendah dan menjualnya dengan harga yang tinggi.
d) Diskriminasi terhadap pedangang Islam.
  • Walaupun Portugis menduduki Melaka selama 130 tahun, Portugis tidak dapat meluaskan pengaruhnya. Pengaruh Portugis hanya kekal di Kota Melaka sahaja. Antara faktor utama Portugis mengembangkan perluasan takluknya adalah untuk menyebarkan agama Kristian. Tetapi, usahanya gagal akibat daripada kekukuhan agama Islam.
  • Beberapa kesan pendudukan Portugis antaranya adalah kelahiran masyarakat Serani hasil perkahwinan antara orang Portugis dengan penduduk tempatan, pengenalan tulisan rumi (roman) dan penyerapan perkataan daripada bahasa Portugis ke dalam bahasa Melayu seperti 'jendela', 'almari', 'tuala', 'garpu' dan lain lain. 

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home