Thursday, 17 September 2015

PENDUDUKAN BRITISH

British merupakan satu lagi kuasa Barat yang berminat dengan kekayaan Tanah Melayu. Seperti juga kuasa barat yang lain, British amat berminat untuk menguasai kekayaan ekonomi tanah ini. Oleh itu, pada peringkat awal kemasukan ke Tanah Melayu, British bermotifkan dorongan sumber-sumber asli dan faktor ekonomi. Namun, lama-kelaman keinginan terus menguasai ekonomi telah membawa kepada campur tangan politik mereka di Tanah Melayu.

KEDATANGAN BRITISH KE TANAH MELAYU

  • Pada awal abad ke-17, muncul pedagang-pedagang awal British di Kepulauan Melayu. Namun, mereka kemudian menghilangkan diri lantaran penarikan diri British daripada Pulau Ambon pada tahun 1675, malahan sehingga dekad kedua abad ke-18, bilangan mereka semakin berkurangan.
  • Sekitar tahun 1730-an, semakin ramai pedagang British kembali ke negeri Melayu lantaran perkembangan corak dagangan Asia Tenggara pada waktu itu. Di Selangor, Sultan Ibrahim adalah antara yang terawal dan giat mempunyai hubungan dengan pedagang-pedagang British walaupun pada zaman pemerintahan ayahandanya telah ada kapal British yang tiba di Selangor (misalnya pada tahun 1761, empat buah kapal British telah tiba di Selangor).
  • Selangor menyambut baik kedatangan pedagang-pedagang British ini, malahan rekod British mencatatkan bahawa Sultan Ibrahim sangat mesra dengan para pedagang British. Francis Light dan James Scott yang juga menganggotai syarikat ini dilihat antara orang yang berperanan mempromosikan lagi kepentingan pusat-pusat perdagangan di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang kepada pedagang British yang lain. 
  • Rentetan daripada kukuhnya pengaruh mereka ini jugalah yang menyebabkan Francis Light berjaya menduduki Pulau Pinang. 
  • Pada peringkat awal, British mengambil sikap tidak campur tangan dalam urusan politik di Tanah Melayu kerana kedatangan mereka semata-mata untuk memonopoli hasil ekonomi. Namun, sikap British berubah apabila mereka mendapati usaha untuk memonopoli hasil ekonomi dan perdagangan terganggu. Bijih timah menjadi hasil keluaran utama Tanah Melayu pada abad ke-18 dan ke-19. Keadaan tidak aman dalam negeri akibat perebutan takhta dan daerah dalam kalangan putera raja serta pertikaian antara kumpulan kongsi gelap Cina (Ghee Hin dan Hai San) untuk menguasai kawasan perlombongan bijih timah menyebabkan campur tangan British. 
REAKSI MASYARAKAT TEMPATAN TERHADAP PENJAJAHAN BRITISH

  • Rakyat negara ini sanggup berjuang dan berkorban nyawa untuk membebaskan tanah air. Walaupun negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan pernah dinaungi, Siam sentiasa melancarkan serangan untuk kebebasan mereka. Kesultanan Melaka pula kerap melancarkan serangan ke atas Portugis di Melaka untuk merampas semula hak mereka. Kerajaan Johor sejak dari abad ke-17 sering berperang dengan Belanda atas faktor yang sama. Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan ini lahir dalam beberapa peringkat dan keadaan. Peringkat terawal berupa penentangan bersenjata dan melibatkan pertumpahan darah. 
  • Secara keseluruhannya, pada peringkat awal penentangan yang dicetuskan oleh masyarakat tempatan berjaya dipatahkan oleh kerajaan British. Namun, penentangan ini menunjukkan lahirnya semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat tempatan untuk menuntut kemerdekaan. 

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home