Thursday 17 September 2015

PENDUDUKAN JEPUN


  • Sejak tahun 1932, golongan tentera telah pun menguasai politik negara Jepun. Pada tahun 1937 pula, golongan tentera ini telah mula menyerang negara China. Jepun telah bersekutu dengan Jerman dan Itali dalamPerang Dunia Kedua untuk menentang Kuasa Berikat yang dianggotai oleh British dan Amerika Syarikat. 
  • Pada 8 Disember 1941, Jepun telah menyerang Tanah Melayu. Seluruh Tanah Melayu dan Singapura telah jatuh ke tangan Jepun menjelang pertengahan Februari 1942.
  • Faktor-faktor yang memudahkan kejayaan Jepun ialah:
a) Pihak British kurang bersedia. Mereka menyangka Jepun akan memulakan serangan dari arah selatan (Singapura) kerana pusat pentadbiran British terletak di situ. Sebaliknya, Jepun memulakan serangan dari arah utara (Kelantan) dan menakluki negeri-negeri Melayu satu demi satu.
b) Kelewatan tentera bantuan dari London dan India yang berlaku berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh kerajaan British.
c) Jepun menyerang melalui jalan laut dan tidak melalui udara seperti yang dijangkakan oleh kerajaan British. Pertahanan laut British terlalu lemah, terutama selepas dua buah kapal perang mereka, iaitu Prince of Wales dan Repulse ditenggelamkan oleh tentera Jepun pada 10 Disember 1941 di perairan Laut China Selatan.
d) Persediaan tentera Jepun lengkap. Tentera Jepun begitu bersedia untuk melancarkan serangan dengan membuat pengintipan sebelum memulakan serangan. Maklumat-maklumat tentang kubu British, landasan kapal terbang dan lokasi kem telah diperoleh terlebih dahulu.
e) Tentera Jepun cukup terlatih, berpengalaman, bersemangat tinggi dan mempunyai taktik peperangan yang baik (mereka tahan lasak sehinggakan mereka sanggup menggunakan basikal untuk meredah hutan). Kelebihan-kelebihan ini bertentangan dengan sikap tentera British yang kurang berdisiplin dan tidak bersemangat.

TANAH MELAYU SELEPAS PENDUDUKAN JEPUN

  • Tentera Jepun berundur dari Tanah Melayu pada 15 Ogos 1945 apabila kalah di tangan Kuasa Berikat dan akibat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika Syarikat.
  • Apabila Jepun menyerah kalah, British mengambil masa 14 hari sebelum kembali semula ke Tanah Melayu. Dalam tempoh 14 hari ini, Parti Komunis Malaya (PKM) melalui Bintang Tiga cuba menguasai Tanah Melayu dan mencetuskan huru-hara. Kebanyakan ahli Bintang Tiga yang mengembangkan ideologi komunis ialah kaum Cina. Hal ini telah mencetuskan insiden pertempuran kaum dan penyeksaan terhadap orang Melayu sebagai membalas dendam akibat layanan baik yang diterima oleh mereka semasa pendudukan Jepun.
  • Pada bulan September 1945, British telah kembali semula ke Tanah Melayu dan berusaha mengawal keadaan dengan memerangi kumpulan berideologi komunis. British telah mengisytiharkan Darurat, Rancangan Briggs dan Rancangan Templer untuk memulihkan semula keadaan. 
  • Kekacauan semakin ketara pada 16 Jun 1948, tiga orang peladang Eropah dibunuh oleh anggota PKM di Sungai Siput, Perak. Rentetan daripada peristiwa ini, Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu telah mengumumkan Darurat pada 17 Jun 1948 dan PKM diharamkan pada 23 Julai 1948.
  • Semasa darurat, kerajaan membelanjakan $300,000 sehari untuk menentang pengganas komunis. Bilangan anggota tentera dan polis juga perlu ditambah di samping penubuhan Pasukan Polis Khas bagi mengawal ladang getah dan lombong bijih timah. 
  • Sir Gerald Templer telah memperkenalkan sistem pembahagian wilayah kepada kawasan hitam dan kawasan putih. Kawan hitam ialah kawasan yang didapati giat dengan aktiviti komunis dan perlu diberi kawalan ketat oleh pihak pertahanan, manakala kawasan putih ialah kawasan yang selamat atau bebas daripada pengaruh komunis.
  • Kerajaan British juga memperkenalkan sistem kad pengenalan di mana rakyat yang berumur 12 tahun ke atas diwajibkan mendaftar dan memiliki dokumen pengenalan diri. Dokumen ini penting sebagai identiti warganegara yang membezakan mereka dengan pengganas. 
  • Selain itu, untuk memastikan usaha penghapusan komunis ini lebih berkesan, kerajaan British telah melantik Gerald Templer sebagai Pesuruhjaya Tinggi yang baharu kerana beliau dianggap lebih berkebolehan. Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan British telah berjaya melemahkan PKM. Akhirnya, darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960.


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home