Thursday 17 September 2015

PENGENALAN



PENDUDUKAN KUASA ASING PORTUGIS, BELANDA, BRITISH DAN JEPUN


NAMA AHLI:

1. MUHAMAD ZUHAILY BIN ZULKIFLEE

2. AIMAN ASYRAF BIN MOHD RASHID

3. MUHAMMAD TAMRIN BIN AHMAD MUSYADDAT



PENSYARAH:

ENCIK MOHD NOOR ZAIDI BIN MOHD ZAWAWI





PENGHARGAAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia. Kami pelajar dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah Pengajian Malaysia kami iaitu, Encik Mohd Noor Zaidi bin Mohd Zawawi kerana telah memberi tunjuk ajar yang secukupnya untuk kami menjayakan tugasan yang diberikan. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan seperjuangan yang sama sama menyiapkan tugasan ini. Terima kasih. 😁

PENDUDUKAN KUASA ASING

     Apabila dunia Eropah mula terdedah dengan aktiviti penjelajahan dan penerokaan serta penjajahan, Tanah Melayu tutur menjadi tumpuan kuasa-kuasa Barat. Tanah Melayu mula mengalami pengaruh pendudukan Barat apabila kerajaan Melayu Melaka ditewaskan Portugis pada tahun 1511. Sememangnya penjajahan bermula pada abad ke-15, Portugis dan Sepanyol adalah antara kuasa Barat yang paling berpengaruh dalam usaha meluaskan kekuasaan masing-masing di Alam Melayu.

     Bermula pada tahun 1511 hinggalah negara memcapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, catatan sejarah menunjukkan negara ini telah diduduki kuasa -kuasa asing selama 446 tahun. Pendudukan kuasa asing dimulai oleh Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1824) dan British (1824-1957). Selain itu, negara juga pernah diduduki Jepun (1941-1945). Di bahagian lain pula, Negeri-negeri Melayu Utara pernah dinaungi oleh Kerajaan Siam.

PENDUDUKAN PORTUGIS

  • Portugis berjaya menawan kota Melaka pada tahun 1511. Namun, Portugis hanya berjaya menawan kota dan pelabuhan Melaka sahaja. Sultan Mahmud dan puteranya Raja Ahmad yang berjaya mengundurkan diri dan kemudiannya menyambung era kesultanan Melayu ini ke negeri-negeri lain (Johor dan Perak).
  • Secara keseluruhannya, Portugis menduduki Melaka selama 130 tahun, iaitu dari tahun 1511-1641. Wizurai yang bertanggungjawab menyusun sistem pentadbiran Portugis di Melaka ialah Alfonso de Albuquerque. Beliau bertanggungjawab membina sebuah kota, iaitu A Famosa untuk melindungi Melaka daripada sebarang serangan, terutama daripada Sulatan Mahmud yang telah beberapa kali berusaha merampas semula Kota Melaka daripada tangan Portugis. 
  • Portugis mengamalkan sistem pentadbiran berbentuk militer atau ketenteraan. Ketuanya digelar Kapten Kota Melaka (juga dikenali sebagai Gabenor Selatan) yang dilantik oleh Raja Portugal untuk bertugas selama tiga hingga empat tahun. Beliau dipilih dalam kalangan Fidalgo, iaitu golongan bangsawan Portugal.
  • Portugis cuba bertahan di Melaka walaupun sering mendapat ancaman daripada waris Sultan Mahmud di Johor dan Aceh. Akhirnya, Portugis tetap tewas apabila diserang kuasa tempatan dari Johor yang mendapat bantuan Belanda pada tahun 1641.
  • Sepanjang pemerintahannya, Portugis melaksanakan beberapa sistem pentadbiran perdagangan seperti yang berikut:
a) Kapal-kapal pedagang diwajibkan           membayar cukai enam hingga 10 peratus daripada hasil dagangan mereka.
b) Setiap pedagang perlu mendapatkan pas kebenaran untuk berdagang terlebih dahulu.
c) Portugis memonopoli barang-barang dagangan utama, tetapi membeli barang tersebut dengan harga yang rendah dan menjualnya dengan harga yang tinggi.
d) Diskriminasi terhadap pedangang Islam.
  • Walaupun Portugis menduduki Melaka selama 130 tahun, Portugis tidak dapat meluaskan pengaruhnya. Pengaruh Portugis hanya kekal di Kota Melaka sahaja. Antara faktor utama Portugis mengembangkan perluasan takluknya adalah untuk menyebarkan agama Kristian. Tetapi, usahanya gagal akibat daripada kekukuhan agama Islam.
  • Beberapa kesan pendudukan Portugis antaranya adalah kelahiran masyarakat Serani hasil perkahwinan antara orang Portugis dengan penduduk tempatan, pengenalan tulisan rumi (roman) dan penyerapan perkataan daripada bahasa Portugis ke dalam bahasa Melayu seperti 'jendela', 'almari', 'tuala', 'garpu' dan lain lain. 

PENDUDUKAN BELANDA

  • Pada tahun 1559, ekspedisi Belanda yang terawal tiba dia Kepulauan Melayu. Selepas tahun tersebut, semakin ramai pedagang Belanda yang berminat untuk berdagang di Kepulauan Melayu, terutama untuk mendapatkan rempah-ratus, buah pala dan kayu cengkih. Kepesatan perdagangan telah mendorong pedagang-pedagang Belanda bergabung membentuk Syarikat Bersatu Hindia Timur (Vereenigde Oost - Indische Compagnie) atau V.O.C pada 20 Mac 1602.
  • Tujuan utama penubuhan V.O.C adalah untuk menguasai perdagangan rempah di Kepulauan Melayu dan memonopoli perdagangan bijih timah. Untuk mencapai tujuan ini, Belanda perlu menyingkirkan Portugis yang sedang bergiat dalam perdagangan di Alam Melayu.
BELANDA DI MELAKA
  • Pada tahun 1619, Belanda berjaya menguasai Betawi di Pulau Jawa. Betawi telah dijadikan pelabuhan perdagangan sebagai alternatif kepada para pedagang dari seluruh dunia. Lama-kelamaan, situasi ini telah menyebabkan kemerosotan populariti Portugis di Melaka.
  • Belanda telah beberapa kali melancarkan serangan ke atas Melaka bagi memastikan penguasaan Portugis di Asia Tenggara lenyap sama sekali. Tindakan ini juga bertujuan menghancurkan pelabuhan Melaka dan menarik pedagang-pedagang asing dan serantau ke Betawi.
  • Akhirnya pada tahun 1641, Belanda berjaya mengusir Portugis dari Melaka dengan bantuan kerajaan Johor.
  • Selepas menguasai Pelabuhan Melaka, Belanda (V.O.C) telah melaksanakan beberapa dasar demi menjayakan matlamat mereka seperti yang berikut:
a) Mewajibkan setiap kapal pedagang mendapatkan pas kebenaran berdagang untuk berdagang di Melaka.
b) Memonopoli perdagangan bijih timah di negeri-negeri Melayu (terutama di Perak, Selangor dan Sungai Ujong) dengan menandatangani perjanjian dengan raja-raja Melayu.

BELANDA DI PERAK

  • Seawal tahun 1639, Sultan Muzaffar Syah II (Raja Sulong) telah membenarkan Belanda menjalankan perdagangan timah. Selepas menawan Melaka pada tahun 1641, V.O.C menuntut monopoli penuh dagangan timah di Perak, tetapi tidak dipersetujui oleh Sultan Muzaffar. Oleh itu, Belanda telah menyekat pedagang-pedagang luar di Kuala Sungai Perak seperti dari Aceh, China dan India. Belanda kemudian meminta bantuan dari Aceh untuk mendapatkan monopoli tersebut dan Sultan Tajul Alam Safiatuddin (1641-1675) hanya memberi kebenaran kepada Belanda untuk berniaga di Perak.
  • Pada tahun 1655, iaitu semasa pemerintahan Sultan Mahmud Iskandar (1653-1720), sekali lagi Truijtman ke Perak untuk menuntut perkara-perkara yang berikut:
a) Perjanjian supaya diperbaharui.
b) Memonopoli bijih timah sepenuhnya.
c) Menuntut ganti rugi sejumlah 50 ribu rial akibat kerosakan loji.
d) Menuntut kerajaan Perak menghukum orang-orang yang terlibat dalam serangan sebelum ini.

  • Sultan tidak melayani tuntutan ini. Akibatnya, Truitjman menyekat kapal-kapal di muara Sungai Perak dan mengepung Aceh. Akhirnya, sultan menandatangani perjanjian dengan Belanda pada 20 Jun 1659 menetapkan hanya Belanda yang berhak membeli timah di Perak dengan harga 30 rial sebahara. 
  • Pada tahun 1690, kota dan loji Belanda terpaksa ditutup kerana diserang oleh pemimpin-pemimpin Perak. Namun, mereka kembali dan cuba mengukuhkan kekuatan di Dinding. Pada pertengahan abad ke-18, Belanda kembali ke Perak dan menduduki Pangkor. Akibat satu pertikaian yang tercetus antara Sultan Muzaffar dengan saudaranya, baginda telah membenarkan Belanda berdagang di Perak dan membina kubu di Pangkor dengan syarat Belanda memberikan perlindungan kepada baginda daripada Bugis. 
  • Hasilnya, satu perjanjian ditandatangani pada 25 Jun 1747 dan Belnda diberi kebebasan berniaga timah di Perak. Belanda juga mengukuhkan kedudukan melalui pembinaan sebuah loji di Pangkalan Halban, Tanjung Putus bagi menggantikan pangkalan mereka di Dinding sebelum ini. 
  • Belanda terus berusaha mendapatkan harga yang lebih rendah. Melalui residennya di Perak, iaitu Johan Hensel, mereka cuba mendapatkan harga 30 tial tetapi tidak dipersetujui Sultan Mahmud. Namun, apabila takhta Perak dipegang oleh Sultan Alaudin Mansyur syah, baginda bersetuju menurunkan harga kepada 32 rial.
  • Apabila takhta Perak diambil alih oleh Sultan Ahmadin Syah, baginda menaikkan semula harga timah kepada 34 rial sebahara. Belanda dan V.O.C semakin tertekan apbila pentadbiran Perak dipangku oleh Raja Muda apabila Sultan Ahmadin tidak sihat. Baginda menaikkan harga timah kepada 44 rial sebahara. Namun, akhirnya loji Belanda di Tanjung Putus terpaksa ditutup pada tahun 1795 akibat beberapa faktor seperti Surat-surat Kew dan status V.O.C yang dibubarkan.
BELANDA DI SELANGOR

  • Mulai tahun-tahun 1760-an lagi, Kuala Selangor telah mula menampakkan peranan aktif sebagai tapak pengumpulan timah. Walaupun Perak telah menetapkan perdagangan timah dengan Belanda, namun pedagang-pedagang yang tidak berpuas hati dengan harganya telah beralih ke Selangor. 
  • Di Kuala Selangor, satu bahara timah dapat dijual dengan harga 38 rial. Apabila Belanda menwarkan harga 36 rial sebahara timah di Selangor, harga semasa meningkat kepada 39 rial. Belanda yang tidak berpuas hati telah menyalahkan Sultan Selangor sebagai bertanggungjawab mempengaruhi pengusaha timah di Perak, Rembau dan Linggi untuk menjual timah ke Selangor. 
  • Kebimbangan Belanda bertambah memuncak apabila Kuala Selangor mula dikunjungi oleh kapal dagang British. Pedagang-pedagang British yang pada mulanya berniaga kain dan candu, kemudiannya mula membeli hasil dagangan timah di sini. Antara kapal yang kerap ke Kuala Selangor ialah Junk Selangor (James Scott) dan The Bloome (Francis Light). 
  • Pada tahun 1770-an, Sultan Ibrahim (1778-1826) dikatakan memainkan dua peranan penting dalam ekonomi Selangor, iaitu:
a) Sebagai pembekal semua hasil timah dari Selangor kepada British dengan menawarkan harga yang lebih baik dan tinggi daripada Belanda. 
b) Mengadakan hubungan yang baik dengan British bagi mengelakkan ancaman-ancaman ketenteraan Belanda dari Melaka.

  •  Pada tahun 1795, melalui Surat-surat Kew, Belanda telah menyerahkan Melaka dan semua tanah jajahannya di Timur buat sementara kepada British bagi mengelakkan tanah-tanah ini jatuh ke tangan Perancis akibat meletusnya Peperangan Napoleon di Eropah. Apabila peperangan berakhir, British terpaksa menyerahkan semula Melaka kepada Belanda.
  • Justeru, British berusaha untuk kembali mempengaruhi negeri-negeri Melayu. Persaingan antara kedua-dua kuasa ini (Belanda dan British) memaksa mereka menandatangani Perjanjian Inggeris-Belanda (Perjanjian London) pada tahun 1824 dan akhirnya Melaka menjadi wilayah penguasaan British secara rasmi.


PENDUDUKAN BRITISH

British merupakan satu lagi kuasa Barat yang berminat dengan kekayaan Tanah Melayu. Seperti juga kuasa barat yang lain, British amat berminat untuk menguasai kekayaan ekonomi tanah ini. Oleh itu, pada peringkat awal kemasukan ke Tanah Melayu, British bermotifkan dorongan sumber-sumber asli dan faktor ekonomi. Namun, lama-kelaman keinginan terus menguasai ekonomi telah membawa kepada campur tangan politik mereka di Tanah Melayu.

KEDATANGAN BRITISH KE TANAH MELAYU

  • Pada awal abad ke-17, muncul pedagang-pedagang awal British di Kepulauan Melayu. Namun, mereka kemudian menghilangkan diri lantaran penarikan diri British daripada Pulau Ambon pada tahun 1675, malahan sehingga dekad kedua abad ke-18, bilangan mereka semakin berkurangan.
  • Sekitar tahun 1730-an, semakin ramai pedagang British kembali ke negeri Melayu lantaran perkembangan corak dagangan Asia Tenggara pada waktu itu. Di Selangor, Sultan Ibrahim adalah antara yang terawal dan giat mempunyai hubungan dengan pedagang-pedagang British walaupun pada zaman pemerintahan ayahandanya telah ada kapal British yang tiba di Selangor (misalnya pada tahun 1761, empat buah kapal British telah tiba di Selangor).
  • Selangor menyambut baik kedatangan pedagang-pedagang British ini, malahan rekod British mencatatkan bahawa Sultan Ibrahim sangat mesra dengan para pedagang British. Francis Light dan James Scott yang juga menganggotai syarikat ini dilihat antara orang yang berperanan mempromosikan lagi kepentingan pusat-pusat perdagangan di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang kepada pedagang British yang lain. 
  • Rentetan daripada kukuhnya pengaruh mereka ini jugalah yang menyebabkan Francis Light berjaya menduduki Pulau Pinang. 
  • Pada peringkat awal, British mengambil sikap tidak campur tangan dalam urusan politik di Tanah Melayu kerana kedatangan mereka semata-mata untuk memonopoli hasil ekonomi. Namun, sikap British berubah apabila mereka mendapati usaha untuk memonopoli hasil ekonomi dan perdagangan terganggu. Bijih timah menjadi hasil keluaran utama Tanah Melayu pada abad ke-18 dan ke-19. Keadaan tidak aman dalam negeri akibat perebutan takhta dan daerah dalam kalangan putera raja serta pertikaian antara kumpulan kongsi gelap Cina (Ghee Hin dan Hai San) untuk menguasai kawasan perlombongan bijih timah menyebabkan campur tangan British. 
REAKSI MASYARAKAT TEMPATAN TERHADAP PENJAJAHAN BRITISH

  • Rakyat negara ini sanggup berjuang dan berkorban nyawa untuk membebaskan tanah air. Walaupun negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan pernah dinaungi, Siam sentiasa melancarkan serangan untuk kebebasan mereka. Kesultanan Melaka pula kerap melancarkan serangan ke atas Portugis di Melaka untuk merampas semula hak mereka. Kerajaan Johor sejak dari abad ke-17 sering berperang dengan Belanda atas faktor yang sama. Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan ini lahir dalam beberapa peringkat dan keadaan. Peringkat terawal berupa penentangan bersenjata dan melibatkan pertumpahan darah. 
  • Secara keseluruhannya, pada peringkat awal penentangan yang dicetuskan oleh masyarakat tempatan berjaya dipatahkan oleh kerajaan British. Namun, penentangan ini menunjukkan lahirnya semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat tempatan untuk menuntut kemerdekaan. 

PENDUDUKAN JEPUN


  • Sejak tahun 1932, golongan tentera telah pun menguasai politik negara Jepun. Pada tahun 1937 pula, golongan tentera ini telah mula menyerang negara China. Jepun telah bersekutu dengan Jerman dan Itali dalamPerang Dunia Kedua untuk menentang Kuasa Berikat yang dianggotai oleh British dan Amerika Syarikat. 
  • Pada 8 Disember 1941, Jepun telah menyerang Tanah Melayu. Seluruh Tanah Melayu dan Singapura telah jatuh ke tangan Jepun menjelang pertengahan Februari 1942.
  • Faktor-faktor yang memudahkan kejayaan Jepun ialah:
a) Pihak British kurang bersedia. Mereka menyangka Jepun akan memulakan serangan dari arah selatan (Singapura) kerana pusat pentadbiran British terletak di situ. Sebaliknya, Jepun memulakan serangan dari arah utara (Kelantan) dan menakluki negeri-negeri Melayu satu demi satu.
b) Kelewatan tentera bantuan dari London dan India yang berlaku berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh kerajaan British.
c) Jepun menyerang melalui jalan laut dan tidak melalui udara seperti yang dijangkakan oleh kerajaan British. Pertahanan laut British terlalu lemah, terutama selepas dua buah kapal perang mereka, iaitu Prince of Wales dan Repulse ditenggelamkan oleh tentera Jepun pada 10 Disember 1941 di perairan Laut China Selatan.
d) Persediaan tentera Jepun lengkap. Tentera Jepun begitu bersedia untuk melancarkan serangan dengan membuat pengintipan sebelum memulakan serangan. Maklumat-maklumat tentang kubu British, landasan kapal terbang dan lokasi kem telah diperoleh terlebih dahulu.
e) Tentera Jepun cukup terlatih, berpengalaman, bersemangat tinggi dan mempunyai taktik peperangan yang baik (mereka tahan lasak sehinggakan mereka sanggup menggunakan basikal untuk meredah hutan). Kelebihan-kelebihan ini bertentangan dengan sikap tentera British yang kurang berdisiplin dan tidak bersemangat.

TANAH MELAYU SELEPAS PENDUDUKAN JEPUN

  • Tentera Jepun berundur dari Tanah Melayu pada 15 Ogos 1945 apabila kalah di tangan Kuasa Berikat dan akibat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika Syarikat.
  • Apabila Jepun menyerah kalah, British mengambil masa 14 hari sebelum kembali semula ke Tanah Melayu. Dalam tempoh 14 hari ini, Parti Komunis Malaya (PKM) melalui Bintang Tiga cuba menguasai Tanah Melayu dan mencetuskan huru-hara. Kebanyakan ahli Bintang Tiga yang mengembangkan ideologi komunis ialah kaum Cina. Hal ini telah mencetuskan insiden pertempuran kaum dan penyeksaan terhadap orang Melayu sebagai membalas dendam akibat layanan baik yang diterima oleh mereka semasa pendudukan Jepun.
  • Pada bulan September 1945, British telah kembali semula ke Tanah Melayu dan berusaha mengawal keadaan dengan memerangi kumpulan berideologi komunis. British telah mengisytiharkan Darurat, Rancangan Briggs dan Rancangan Templer untuk memulihkan semula keadaan. 
  • Kekacauan semakin ketara pada 16 Jun 1948, tiga orang peladang Eropah dibunuh oleh anggota PKM di Sungai Siput, Perak. Rentetan daripada peristiwa ini, Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu telah mengumumkan Darurat pada 17 Jun 1948 dan PKM diharamkan pada 23 Julai 1948.
  • Semasa darurat, kerajaan membelanjakan $300,000 sehari untuk menentang pengganas komunis. Bilangan anggota tentera dan polis juga perlu ditambah di samping penubuhan Pasukan Polis Khas bagi mengawal ladang getah dan lombong bijih timah. 
  • Sir Gerald Templer telah memperkenalkan sistem pembahagian wilayah kepada kawasan hitam dan kawasan putih. Kawan hitam ialah kawasan yang didapati giat dengan aktiviti komunis dan perlu diberi kawalan ketat oleh pihak pertahanan, manakala kawasan putih ialah kawasan yang selamat atau bebas daripada pengaruh komunis.
  • Kerajaan British juga memperkenalkan sistem kad pengenalan di mana rakyat yang berumur 12 tahun ke atas diwajibkan mendaftar dan memiliki dokumen pengenalan diri. Dokumen ini penting sebagai identiti warganegara yang membezakan mereka dengan pengganas. 
  • Selain itu, untuk memastikan usaha penghapusan komunis ini lebih berkesan, kerajaan British telah melantik Gerald Templer sebagai Pesuruhjaya Tinggi yang baharu kerana beliau dianggap lebih berkebolehan. Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan British telah berjaya melemahkan PKM. Akhirnya, darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960.


KESIMPULAN

Kesimpulannya generasi baru perlu menjadikan peristiwa penjajahan di Tanah Melayu sebagai iktibar agar sentiasa mengisi kemerdekaan yang dikecapi dengan melakukan sesuatu yang akan menaikkan nama negara di mata dunia dan pada masa yang sama memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. Selain itu, sebagai warganegara Malaysia, setiap individu perlu mengetahui asal-usul bangsanya sendiri. Dengan adanya pengetahuan ini, maka akan melahirkan warganegara yang sayang akan negara dan tidak mudah lupa diri apabila berada di negara orang. Justeru, nilai-nilai murni yang boleh diambil daripada peristiwa penjajahan ini ialah setiap warganegara perlu memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Dalam hal ini, semua warganegara ada peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mengisi kemerdekaan yang dinikmati sekarang ini.

RUJUKAN & LAMPIRAN

RUJUKAN

BUKU TEKS PENGAJIAN MALAYSIA DARI MUKA SURAT 31 HINGGA 71.


LAMPIRAN