Thursday 17 September 2015

PENDUDUKAN BELANDA

  • Pada tahun 1559, ekspedisi Belanda yang terawal tiba dia Kepulauan Melayu. Selepas tahun tersebut, semakin ramai pedagang Belanda yang berminat untuk berdagang di Kepulauan Melayu, terutama untuk mendapatkan rempah-ratus, buah pala dan kayu cengkih. Kepesatan perdagangan telah mendorong pedagang-pedagang Belanda bergabung membentuk Syarikat Bersatu Hindia Timur (Vereenigde Oost - Indische Compagnie) atau V.O.C pada 20 Mac 1602.
  • Tujuan utama penubuhan V.O.C adalah untuk menguasai perdagangan rempah di Kepulauan Melayu dan memonopoli perdagangan bijih timah. Untuk mencapai tujuan ini, Belanda perlu menyingkirkan Portugis yang sedang bergiat dalam perdagangan di Alam Melayu.
BELANDA DI MELAKA
  • Pada tahun 1619, Belanda berjaya menguasai Betawi di Pulau Jawa. Betawi telah dijadikan pelabuhan perdagangan sebagai alternatif kepada para pedagang dari seluruh dunia. Lama-kelamaan, situasi ini telah menyebabkan kemerosotan populariti Portugis di Melaka.
  • Belanda telah beberapa kali melancarkan serangan ke atas Melaka bagi memastikan penguasaan Portugis di Asia Tenggara lenyap sama sekali. Tindakan ini juga bertujuan menghancurkan pelabuhan Melaka dan menarik pedagang-pedagang asing dan serantau ke Betawi.
  • Akhirnya pada tahun 1641, Belanda berjaya mengusir Portugis dari Melaka dengan bantuan kerajaan Johor.
  • Selepas menguasai Pelabuhan Melaka, Belanda (V.O.C) telah melaksanakan beberapa dasar demi menjayakan matlamat mereka seperti yang berikut:
a) Mewajibkan setiap kapal pedagang mendapatkan pas kebenaran berdagang untuk berdagang di Melaka.
b) Memonopoli perdagangan bijih timah di negeri-negeri Melayu (terutama di Perak, Selangor dan Sungai Ujong) dengan menandatangani perjanjian dengan raja-raja Melayu.

BELANDA DI PERAK

  • Seawal tahun 1639, Sultan Muzaffar Syah II (Raja Sulong) telah membenarkan Belanda menjalankan perdagangan timah. Selepas menawan Melaka pada tahun 1641, V.O.C menuntut monopoli penuh dagangan timah di Perak, tetapi tidak dipersetujui oleh Sultan Muzaffar. Oleh itu, Belanda telah menyekat pedagang-pedagang luar di Kuala Sungai Perak seperti dari Aceh, China dan India. Belanda kemudian meminta bantuan dari Aceh untuk mendapatkan monopoli tersebut dan Sultan Tajul Alam Safiatuddin (1641-1675) hanya memberi kebenaran kepada Belanda untuk berniaga di Perak.
  • Pada tahun 1655, iaitu semasa pemerintahan Sultan Mahmud Iskandar (1653-1720), sekali lagi Truijtman ke Perak untuk menuntut perkara-perkara yang berikut:
a) Perjanjian supaya diperbaharui.
b) Memonopoli bijih timah sepenuhnya.
c) Menuntut ganti rugi sejumlah 50 ribu rial akibat kerosakan loji.
d) Menuntut kerajaan Perak menghukum orang-orang yang terlibat dalam serangan sebelum ini.

  • Sultan tidak melayani tuntutan ini. Akibatnya, Truitjman menyekat kapal-kapal di muara Sungai Perak dan mengepung Aceh. Akhirnya, sultan menandatangani perjanjian dengan Belanda pada 20 Jun 1659 menetapkan hanya Belanda yang berhak membeli timah di Perak dengan harga 30 rial sebahara. 
  • Pada tahun 1690, kota dan loji Belanda terpaksa ditutup kerana diserang oleh pemimpin-pemimpin Perak. Namun, mereka kembali dan cuba mengukuhkan kekuatan di Dinding. Pada pertengahan abad ke-18, Belanda kembali ke Perak dan menduduki Pangkor. Akibat satu pertikaian yang tercetus antara Sultan Muzaffar dengan saudaranya, baginda telah membenarkan Belanda berdagang di Perak dan membina kubu di Pangkor dengan syarat Belanda memberikan perlindungan kepada baginda daripada Bugis. 
  • Hasilnya, satu perjanjian ditandatangani pada 25 Jun 1747 dan Belnda diberi kebebasan berniaga timah di Perak. Belanda juga mengukuhkan kedudukan melalui pembinaan sebuah loji di Pangkalan Halban, Tanjung Putus bagi menggantikan pangkalan mereka di Dinding sebelum ini. 
  • Belanda terus berusaha mendapatkan harga yang lebih rendah. Melalui residennya di Perak, iaitu Johan Hensel, mereka cuba mendapatkan harga 30 tial tetapi tidak dipersetujui Sultan Mahmud. Namun, apabila takhta Perak dipegang oleh Sultan Alaudin Mansyur syah, baginda bersetuju menurunkan harga kepada 32 rial.
  • Apabila takhta Perak diambil alih oleh Sultan Ahmadin Syah, baginda menaikkan semula harga timah kepada 34 rial sebahara. Belanda dan V.O.C semakin tertekan apbila pentadbiran Perak dipangku oleh Raja Muda apabila Sultan Ahmadin tidak sihat. Baginda menaikkan harga timah kepada 44 rial sebahara. Namun, akhirnya loji Belanda di Tanjung Putus terpaksa ditutup pada tahun 1795 akibat beberapa faktor seperti Surat-surat Kew dan status V.O.C yang dibubarkan.
BELANDA DI SELANGOR

  • Mulai tahun-tahun 1760-an lagi, Kuala Selangor telah mula menampakkan peranan aktif sebagai tapak pengumpulan timah. Walaupun Perak telah menetapkan perdagangan timah dengan Belanda, namun pedagang-pedagang yang tidak berpuas hati dengan harganya telah beralih ke Selangor. 
  • Di Kuala Selangor, satu bahara timah dapat dijual dengan harga 38 rial. Apabila Belanda menwarkan harga 36 rial sebahara timah di Selangor, harga semasa meningkat kepada 39 rial. Belanda yang tidak berpuas hati telah menyalahkan Sultan Selangor sebagai bertanggungjawab mempengaruhi pengusaha timah di Perak, Rembau dan Linggi untuk menjual timah ke Selangor. 
  • Kebimbangan Belanda bertambah memuncak apabila Kuala Selangor mula dikunjungi oleh kapal dagang British. Pedagang-pedagang British yang pada mulanya berniaga kain dan candu, kemudiannya mula membeli hasil dagangan timah di sini. Antara kapal yang kerap ke Kuala Selangor ialah Junk Selangor (James Scott) dan The Bloome (Francis Light). 
  • Pada tahun 1770-an, Sultan Ibrahim (1778-1826) dikatakan memainkan dua peranan penting dalam ekonomi Selangor, iaitu:
a) Sebagai pembekal semua hasil timah dari Selangor kepada British dengan menawarkan harga yang lebih baik dan tinggi daripada Belanda. 
b) Mengadakan hubungan yang baik dengan British bagi mengelakkan ancaman-ancaman ketenteraan Belanda dari Melaka.

  •  Pada tahun 1795, melalui Surat-surat Kew, Belanda telah menyerahkan Melaka dan semua tanah jajahannya di Timur buat sementara kepada British bagi mengelakkan tanah-tanah ini jatuh ke tangan Perancis akibat meletusnya Peperangan Napoleon di Eropah. Apabila peperangan berakhir, British terpaksa menyerahkan semula Melaka kepada Belanda.
  • Justeru, British berusaha untuk kembali mempengaruhi negeri-negeri Melayu. Persaingan antara kedua-dua kuasa ini (Belanda dan British) memaksa mereka menandatangani Perjanjian Inggeris-Belanda (Perjanjian London) pada tahun 1824 dan akhirnya Melaka menjadi wilayah penguasaan British secara rasmi.


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home